Mohd Farid PMUKM

Mohd Farid PMUKM

Friday, September 23, 2016

Kertas Kerja Cadangan Kembara Bersama Angkasawan Negara (Tidak Dilaksanakan)



UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA


    
KEMBARA BERSAMA ANGKASAWAN NEGARA

TEMA
‘SATU HARI, SATU PENGALAMAN, SERIBU PENGHAYATAN’


TARIKH
27 FEBRUARI 2008


ANJURAN
PERSATUAN MAHASISWA
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA


ANJURAN BERSAMA
JAWATANKUASA KEBAJIKAN SISWA/I
KOLEJ TUN SYED NASIR



1.            Pendahuluan

Program angkasawan dan penyelidikan sains yang dilakukan di angkasa lepas sudah pasti telah menyemarakkan obor semangat warga Universiti Kebangsaan Malaysia, lebih-lebih lagi mahasiswa di cawangan kampus Kuala Lumpur untuk mendalami bidang sains dan teknologi, malah pada masa sama mempertingkatkan aspek psikologi.

Minda para mahasiswa UKM telah disuburkan dengan perasaan bangga kerana martabat mereka di mata dunia sudah berubah, di mana kini, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang turut merupakan doktor ortopedik dan pensyarah perubatan pelatih di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) telah membawa nama UKM seterusnya Malaysia dengan menyertai liga negara peneroka angkasa lepas. Dengan segala pengalaman serta penyelidikan yang telah di jalankan oleh angkasawan pertama Malaysia ini, warga UKM, khususnya kampus UKM cawangan Kuala Lumpur, berharap segalanya dapat di kongsi bersama agar pengalaman-pengalaman tersebut dapat kami junjung dan diaplikasikan dalam menerajui lebih banyak lagi penyelidikan dan misi yang bakal dijalankan oleh UKM.

Tetapi lebih penting lagi, program angkasawan negara ini menandakan bermulanya era baru bagi sebuah negara seperti Malaysia dalam menyelusupi arus pembangunan negara, dan kami selaku mahasiswa di sebuah institusi berprestij negara, bertanggungjawab untuk menyokong serta meneruskan impian negara untuk keluar daripada kepompong sendiri dan berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan negara-negara gergasi lain.

Dalam memenuhi cita-cita dan matlamat kami iaitu melahirkan graduan yang beriman, berkemahiran tinggi, berpengetahuan saintifik, berorientasi biologi, menghormati maruah insaniah, sensitif terhadap persekitaran, bertanggungjawab dari segi etika dan profesional serta menjadi ahli pasukan yang efektif, kami menyedari bahawa perlunya Program Sehari Bersama Angkasawan Negara ini dijalankan bagi memberi peluang kepada para pelajar UKM cawangan kampus Kuala Lumpur untuk mendengar sendiri pengalaman serta cerita pahit manis angkawasan negara dalam memikul tanggungjawab besar negara demi meletakkan nama negara di mata dunia.

  1. Tujuan
Memupuk minat yang mendalam dalam bidang penyelidikan dengan sama-sama turun padang mendengar sendiri bagaimana angkasawan negara menyempurnakan penyelidikan mengenai kesan mikrograviti dan radiasi angkasa lepas terhadap sel dan mikrob, di samping mengenalpasti protein yang berpotensi sebagai vaksin HIV. Turut sama menyemai sikap bertolak ansur serta sabar dalam menghadapi hari-hari yang mendatang sebagaimana yang telah dialami oleh angkasawan negara sepanjang latihan di Star City di Russia selama 18 bulan sebelum melalui cabaran dan dugaan sejurus berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). 

Ini seiring dengan tuntutan norma-norma dalam menjana dan melahirkan golongan intelektual, profesionalisme dan berketrampilan untuk memulakan serta menempuh alam pekerjaan. Selain itu, program ini dianjurkan sebagai suatu kaedah untuk meninggikan lagi martabat bidang penyelidikan serta perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini juga adalah perintis untuk mahasiswi/i menimba lebih banyak pengetahuan dan pengalaman yang bermanfaat agar dapat diaplikasikan kelak khususnya semasa mencari pekerjaan serta menghadapi cabaran-cabaran masa mendatang. Dalam usaha mencapai wawasan negara, UKM dilihat sebagai  universiti pertama yang berusaha dan mampu melahirkan graduan berkualiti ke arah kecemerlangan kemajuan dan penyebaran maklumat dengan mengamalkan konsep penyelidikan dan pengantarabangsaan. Kami berharap menjadi warga cemerlang, gemilang dan terbilang.

  1. Objektif

3.1.Memberi persediaan kepada bakal penyelidik negara sebagai penyumbang tenaga yang cekap kepada negara bagi membantu melaksanakan misi-misi negara yang mendatang.
3.2. Memberi pendedahan tentang bidang penerokaan angkasa yang dapat dikaitkan dengan sains dan penyelidikan agar dapat diceburi oleh mahasiswa/i khususnya mahasiswa kampus Kuala Lumpur.
3.3 .Memupuk sikap profesionalisme dan kemahiran berorganisasi kepada mahasiswa/i UKM.

  1. Anjuran

Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Kuala Lumpur.

  1. Tema

“Satu hari, satu pengalaman, seribu penghayatan”

  1. Tarikh & tempat

6.1    Tarikh : 27 Februari 2008 (Rabu)
6.2   Cadangan tempat : Dewan Serbaguna, Kolej Tun Syed Nasir, Kuala Lumpur.

  1. Penyertaan

7.1  Mahasiswa/i Kolej Tun Syed Nasir
7.2  Pensyarah penasihat Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia

  1. Organisasi

Seperti di lampiran A

  1. Tentatif program

Seperti di lampiran B

  1. Anggaran belanjawan

Seperti di lampiran C


  1. Alamat urusetia

Universiti Kebangsaan Malaysia,
Jalan Raja Muda Abdul Aziz,
50300 Kuala Lumpur.

Untuk perhatian :
Penyelaras I
Mohd Farid Bin Mohd Taufik (0172065694)
Penyelaras II
Mohd Fekri bin Ahmad Nazri (0134129709)

  1. Penutup

Program ini diharapkan dapat memberi satu pengalaman yang bermakna buat para pelajar UKM kampus cawangan Kuala Lumpur. Di harapkan agar isi-isi program dapat di hayati sepenuhnya menjadikan mereka mahasiswa/i yang berkarisma, berfikiran terbuka dan profesional serta bertanggungjawab bagi memperoleh persaingan dan pemikiran seantero dunia selari dengan dunia hari ini.

Organisasi Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak-pihak yang memberi peluang kepada kami untuk mengadakan program ini. Sokongan moral dan kerjasama yang diberikan membolehkan mahasiswa/i menimba pengalaman  yang  dapat diaplikasikan dalam kehidupan untuk agama, masyarakat dan negara tercinta.

Disediakan oleh,


Mohd Fekri bin Ahmad Nazri
Timbalan Pengerusi Latihan dan Kepimpinan
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia

Disemak oleh,

Mohd Farid Bin Mohd Taufik
Timbalan Pengerusi Kebajikan Dan Perkhidmatan
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia

Mohd Zaid bin Mohd Idrus
Presiden
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia

Disahkan oleh,

                                               
Timbalan Pengetua
Kolej Tun Syed Nasir
Universiti Kebangsaan Malaysia

Diluluskan oleh,


Prof. Madya Dr. Kaswandi bin Md. Ambia
Pengetua
Kolej Tun Syed Nasir
Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment