Mohd Farid PMUKM

Mohd Farid PMUKM

Friday, September 23, 2016

Perkara Berbangkit Atas Cadangan Penambaikan Gimnasium Dalam Kertas Kerja Yang Diserahkan Kepada Dato Naib Canselor



1. PERKARA BERBANGKIT BERKAITAN GIMNASIUM DI KAMPUS KUALA LUMPUR

1.1. Hak Menggunakan Kemudahan Yang Disediakan Oleh Pihak UKM

Kampus Kuala Lumpur sememangnya sebuah kampus yang jauh dari Kampus Induk, di Bangi. Di Kampus Induk Bangi, segala kelengkapan disediakan seperti Kelab Golf Danau yang dilengkapi dengan padang golf 18 lubang bertaraf antarabangsa, kolam renang bersaiz olimpik, gelanggang tenis, padang bola, sepak takraw, olahraga, badminton termasuk kemudahan gymnasium yang lengkap. Sesungguhnya kemudahan-kemudahan tersebut disediakan bagi kegunaan pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, staf-staf dan orang awan menggunakannya bagi tujuan menjalankan aktiviti sukan yang sihat. Sememangnya, kemudahan ini diharap dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh sasaran di atas.

Namun bagi pelajar di Kampus Kuala Lumpur, kemudahan yang disediakan di kampus induk bangi sukar untuk dimanfaatkan berikutan kekangan jarak yang jauh dan kemudahan pengangkutan selain masa yang ada bagi tujuan tersebut. Pelajar-pelajar Kampus Kuala Lumpur sesungguhnya ingin menikmati kemudahan yang Universiti Kebangsaan Malaysia sediakan bagi warganya yang dikasihi, namun ia bagai tiada kesampaian. Mewujudkan gimnasium di Kolej Tun Syed Nasir adalah satu langkah baik dimana sekurang-kurangnya pelajar di sini dapat merasai dan memanfaatkan kemudahan gymnasium seperti warga UKM di Bangi.

Oleh itu, diharapkan agar kemudahan  gimnasium dapat dinaiktarafkan agar pelajar-pelajar di kampus kuala lumpur dapat merasai kemudahan gimnasium sepertimana warga UKM lain merasakan kemudahan gymnasium di bangi.

 Walaupun tidak selengkap gimnasium di UKM Bangi, namun sekurang-kurangnya kelengkapan asas gimnasium dapat disediakan agar pelajar-pelajar di kampus ini dapat merasakan bahawa walaupun gimnasium di Bangi tidak dapat digunakan, mereka mempunyai alternatif lain di kolej yang didiami ini. Tiada lagi alasan yang dapat diberi untuk tidak  mengamalkan budaya yang sihat sekiranya gimnasium ini sudah pun sedia lengkap.

Perkara ini juga selaras dengan konsep ‘Sukan untuk Semua” yang diutarakan oleh Pusat Kecergasan Negara di mana semua masyarakat mempunyai hak untuk bersukan atau melakukan aktiviti kecergasan sebagaimana warga yang lain.

1.2.         Rungutan Pengguna Gimnasium Atas Ketidakselesaan Dan Ketidaklengkapan Peralatan Gimnasium

Gimnasium ini digunakan oleh pelajar Kolej Tun Syed hampir setiap minggu. Pelajar menggunakannya atas tujuan beriadah dan melakukan aktiviti kecergasan. Beberapa rungutan didapati dari pelajar-pelajar tersebut. Seperti ketidaklengkapan peralatan senaman, ketidakselesaan dalam menggunakan gimnasium serta bosan melakukan disiplin yang sama setiap kali. Mereka berharap agar peralatan yang disediakan dapat ditambah supaya dapat memanfaatkan kemudahan dengan maksimum. Dari segi keselamatan juga harus di beri perhatian yang serius. Ini kerana peralatan yang rosak dan tidak diselenggara dengan baik boleh menyebabkan kecederaan kepada pengguna-pengguna alatan gimnasium tersebut.

1.3. Kesedaran Menjaga Kesihatan

Kolej Tun Syed Nasir dihuni oleh pelajar-pelajar dari Fakulti Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu serta Fakulti Pergigian. Sememangnya pelajar-pelajar dari fakulti ini lebih menjurus ke arah kesihatan. Oleh itu, kesedaran terhadap pentingnya aktiviti fizikal dalam menjaga kesihatan membuatkan mereka melakukan aktiviti-aktiviti kecergasan pada waktu-waktu senggang. Walaupun kerap berjogging di Tasik Titiwangsa, namun mereka mengharapkan agar gimnasium juga dapat digunakan kerana bagi mereka yang tiada masa untuk ke Tasik Titiwangsa pada waktu petang, mereka dapat mengunakan alternatif lain, iaitu beriadah di gimnasium pada waktu malam.

Kesibukan dalam menghadiri kuliah dan menyelesaikan tugasan pada waktu siang hingga tidak dapat melakukan aktiviti kecergasan bukan lagi alasan kerana mereka masih dapat menggunakan kemudahan gimnasium pada waktu malam. Sesungguhnya minda yang cerdas lahir dari badan yang cergas. Atas sebab ini, sekiranya kemudahan gimnasium dapat ditambah dan dinaiktaraf, gimnasium tersebut dapat digunakan secara optima apabila beroperasi pada waktu malam. Perkara ini selaras dengan matlamat umum ‘National Fitness Centre’ untuk memperkukuhkan budaya sukan di samping melahirkan sebuah Masyarakat Malaysia Cergas.

1.4. Status Gimnasium

Gimnasium yang diwujudkan di Kolej Tun Syed Nasir, pada dasarnya berada di bawah pengurusan Unit Sukan Kampus Kuala Lumpur. Namun, terdapat beberapa kekeliruan dalam perkara ini di mana gimnasium juga turut di diselia oleh Unit Perumahan Kampus Kuala Lumpur. Hal ini menjadikan beberapa perancangan dalam memantapkan lagi fungsi gimnasium tergendala berikutan terdapat percanggahan dalam pengurusan gimnasium terbabit oleh kedua-dua pihak.

Gimnasium pada awalnya akan dinaiktaraf secara berperingkat yang mana ia telah dimulakan dengan penggantian permaidani yang uzur dengan permaidani yang baru dan lebih kemas. Sebuah pejabat pengurusan unit sukan akan diwujudkan di gimnasium ini bagi memantapkan fungsi dan pengurusan unit sukan di Kampus Kuala Lumpur. Namun, penaiktarafan ini dikatakan tergendala berikutan terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dipastikan. Yang terbaru, gimnasium dikatakan akan dipindahkan di ruang skuasy berhampiran kafe, di mana salah satu daripada ruang skuasy tersebut akan dijadikan tempat gimnasium yang baru. Dan bilik gimnasium yang wujud sekarang ini akan menjadi tempat yang masih tidak dapat dipastikan penggunaannya.

Sesungguhnya perkara ini diharapkan dapat diperjelaskan dengan segera bagi meleraikan kekusutan. Status penaiktarafan gimnasium dan pengurusannya masih tidak dapat dipastikan dan ini boleh menjejaskan masa depan fungsi gimnasium di kolej ini.

1.5.   Mewujudkan Kelab Gimnasium

Gimnasium sememangnya memerlukan penyelenggaraan bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik. Penyelenggaraan ini penting dan memerlukan sedikit kos bagi tujuan membaiki peralatan yang rosak, memastikan komponen-komponen yang tidak sesuai untuk digunakan lagi diganti serta membaikpulih bahagian-bahagian yang sudah uzur. Atas sebab ini, terdapat cadangan untuk menubuhkan kelab gimnasium di mana setiap ahli kelab akan dikenakan yuran tahunan bagi membolehkan penggunaan gimnasium ini boleh dilaksanakan dengan lebih sistematik dan tersusun. Yuran ini bukan untuk membebankan pelajar, tetapi ia perlu bagi memastikan gimnasium ini dapat diselenggarakan dengan baik dalam menjamin kualiti dan keselesaan semasa memanfaatkan kemudahan ini.

No comments:

Post a Comment